ALLAH menjanjikan Syurga
bagi hambaNYA yang menjalani hidup dengan baik. Hidup di dunia tidak akan
sentiasa menyenangkan. Setiap manusia digilirkan untuk merasai perkara yang
disukai dan yang dia benci. Ini kerana dunia adalah tempat ujian bagi manusia
untuk membuktikan siapa di kalangan hamba Allah yang benar imannya dan siapa
yang berdusta.
Firman ALLAH, “Sungguh
Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, dan Allah pasti mengetahui
orang-orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta.” (Al-Ankabut:
3)
Imam Ibnu Katsir rh.
menjelaskan dalam tafsirnya: “(Agar dibezakan) orang yang benar dalam
pengakuannya dari orang yang dusta dalam ucapan dan pengakuannya. Sedangkan
Allah SWT Maha Mengetahui apa yang telah terjadi, yang sedang terjadi, dan yang
akan terjadi. Allah juga mengetahui cara terjadi sesuatu bila hal itu terjadi.
Hal ini adalah ijma’ para imam Ahlus Sunnah wal Jamaah.”
Antara bentuk ujian yang
dihadapi manusia adalah seperti firman Allah, “Dan sungguh akan Kami berikan
cubaan kepadamu, dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan
buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu
yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa
innaa ilaihi raaji’uun (Sesungguhnya kita milik ALLAH dan kepadaNYA
kita dikembalikan).” Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan
rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah:
155-158)
Ayat ini menjelaskan
bahawa orang yang sabar ketika ditimpa musibah mendapat tiga keutamaan
sekaligus; selawat Allah, rahmat dan petunjukNya. Allah SWT tidak pernah
mengumpulkan tiga keutamaan sekaligus dalam satu ayat kecuali dalam ayat ini
iaitu keutamaan bagi orang yang sabar ketika mendapat musibah. Makna selawat
Allah kepada orang yang sabar ketika mendapat musibah adalah: Allah memuji
orang tersebut di hadapan para malaikatNya yang suci, hal ini sebagaimana yang
dikemukakan oleh Abu Al-‘Aliyah Al-Rayyahi rhm. (Syarh Al-Mumti’, Ibnu
Al-Utsaimin)
Orang beriman percaya
bahawa semua takdir ALLAH itu baik dan ada hikmahnya, kerana Allah tidak
menjadikan sesuatu sia-sia. Mereka mengharap pahala darinya dan hanya orang
yang sabar dicukupkan pahala tanpa batas, iaitu orang yang sabar semata-mata
kerana Allah, bukan kerana terpaksa. Ini kerana sabar yang diganjari pahala
adalah sabar di awal musibah.
Rasulullah SAW pernah
melewati di sebelah seorang wanita yang menangisi kematian anaknya. Baginda
berkata kepadanya, “Takutlah kepada Allah dan bersabarlah.” Wanita itu berkata,
“Engkau tidak rasa musibah yang aku alami.” Ketika Rasulullah SAW berlalu dari
situ ada sahabat berkata kepada wanita itu bahawa orang yang menasihati tadi
adalah Rasulullah SAW. Alangkah terkejutnya wanita itu, dia segera pergi ke
rumah Rasulullah SAW dan berdiri pintunya. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, tadi
aku tidak mengenalmu. Sekarang aku sabar.” Rasulullah SAW bersabda, “Sabar itu
di awal musibah.” (Bukhari dan Muslim)
BERITA GEMBIRA BAGI
ORANG YANG SABAR DAN MENGHARAP PAHALA
Hikmah terbesar di
sebalik musibah adalah dihapuskan dosa dan diganjari pahala sehingga dia
beroleh Syurga ALLAH SWT. Nabi SAW bersabda, “Sungguh pahala yang besar bersama
ujian yang besar. Apabila Allah mencintai seseorang, Dia memberi ujian
kepadanya, siapa yang redha maka Allah redha padanya, dan siapa yang murka maka
Allah murka padanya.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)
Dari Anas bin Malik,
Nabi SAW bersabda, “Apabila Allah menginginkan kebaikan pada hambaNya,
disegerakan baginya hukuman di dunia. Dan apabila Allah menginginkan keburukan
pada hambanya, ditahan baginya balasan dosanya hingga akan disempurnakan pada
hari kiamat.” (Hasan sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)
Wuhaib bin Al-Ward rh.
berkata, “Apabila ALLAH SWT ingin memuliakan hambaNya, Dia menimpakan kepadanya
sesuatu yang tidak disukainya, kesakitan pada tubuhnya, dan ketakutan (yang
menghapus dosanya), sehingga kematian datang kepadanya dan dia masih memiliki
dosa, kematian dijadikan sangat sukar baginya disebabkannya (untuk menghapus dosa
yang masih berbaki), menyebabkan dia bertemu ALLAH tanpa dosa. Dan apabila
seseorang itu tidak bernilai pada ALLAH (disebabkan keingkarannya), ALLAH
menjadikannya sihat, meluaskan tujuan hidupnya dan menjadikan dia merasa aman
(ganjaran kebaikan yang dilakukannya dibalas ketika di dunia). Hingga kematian
datang dan dia masih ada sisa kebaikan (yang belum dibalas), maka kematian
dijadikan ringan baginya disebabkan kebaikannya, dan dia bertemu ALLAH tanpa
apa-apa.” (Al-Mujalasah wa Jawahir Al-Ilmi)
Rasulullah SAW bersabda:
“Ujian selalu bersama orang beriman lelaki dan perempuan, baik pada diri, anak
dan hartanya, sampai dia bertemu Allah dalam keadaan tidak mempunyai satu
kesalahan pun.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)
Betapa manusia sangat
memerlukan ampunan dari Allah, kerana setiap anak Adam tidak lepas dari dosa.
Jadi mengapa harus mengeluh apabila ditimpa musibah? Jauhilah ucapan yang
dimurkai, hindarilah mengeluh dan mengadu kepada manusia kerana mengeluh kepada
makhluk adalah perbuatan hina. Sebaliknya mengadulah pada ALLAH sebagaimana
yang diucapkan oleh Nabi Yaakub, “Sungguh aku mengadu kesusahan dan kesedihanku
hanya kepada ALLAH.” (Yusuf: 86)
Nabi SAW berkata,
“Mereka (para Nabi) sangat gembira dengan musibah seperti kalian gembira dengan
kemudahan.” (Sahih. Riwayat Ahmad). Mengapa tidak, “Tidaklah
seorang muslim terkena musibah penyakit atau yang lainnya kecuali Allah
menghapuskan kesalahannya seperti pokok menggugurkan daun-daunnya.” (Bukhari
dan Muslim). Bahkan Nabi berkata, “Manusia pada hari Kiamat
menginginkan kulitnya dipotong-potong dengan gunting ketika di dunia kerana
melihat betapa besarnya pahala orang yang tertimpa musibah di dunia.” (Sahih.
Riwayat Baihaqi)
Ketahuilah, Allah tidak
sesekali menimpakan ujian kecuali sesuai kemampuan hambaNya. “Allah tidak
membebani seseorang kecuali dengan apa yang dia mampu.” (Al-Baqarah:
286). Allah juga berfirman, “Tiada satu musibah yang menimpa di bumi
dan dirimu melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami
menciptakannya. Sungguh demikian itu mudah bagi Allah, supaya kamu jangan
berdukacita terhadap apa yang hilang darimu dan supaya kamu jangan terlalu
gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. (Al-Hadid: 22-23)
Nabi SAW bersabda dalam
hadis qudsi: “Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam, jika engkau bersabar dan
mengharap pahala sejak awal tertimpa musibah maka Aku tidak rela memberi pahala
untukmu selain Syurga.” (Hasan. Riwayat Ibnu Majah)
Jika dibanding ujian
yang kita hadapi, tidaklah ia lebih berat dari apa yang menimpa umat Islam
terdahulu, yang digergaji kepalanya hingga terbelah dua, disikat badannya
dengan sikat besi sehingga nampak tulangnya, Sumayyah yang ditusuk kemaluannya
hingga tembus ke punggungnya oleh Abu Jahal, dan banyak lagi. Mereka diuji
sesuai tahap keimanan dan darjat mereka, dan kita diuji sesuai tahap keimanan
kita. Hendaklah kita bersyukur selama mana ujian itu tidak menimpa agama dan
tidak membuat kita berburuk sangka kepada ALLAH. Sabda Rasulullah, “Janganlah
kamu mati kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah.” (Riwayat
Muslim)
Comments
Post a Comment