ANJURAN BERSIFAT JUJUR (HADIS NO.49)

ANJURAN BERSIFAT JUJUR


Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam :
عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ ، فَإِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِيْ إِلَى الْبِرِّ ، وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِيْ إِلَى الْجَنَّةِ
Hendaklah kalian selalu berlaku jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan mengantarkan seseorang ke Syurga
Dalam hadis ini Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan umatnya berlaku jujur dalam perkataan, perbuatan, ibadah dan dalam semua perkara. Jujur itu bermaksud serentak antara zahir dan batin, ucapan dan perbuatan, serta antara berita dan fakta.
Maksudnya, hendaklah kalian terus berlaku jujur. Kerana jika engkau sentiasa jujur, maka itu akan membawamu kepada al-birr (iaitu melakukan segala kebaikan), dan kebaikan itu akan membawamu ke Syurga yang merupakan puncak keinginan, sebagaimana Allâh Subhanahu wa Ta’ala berfirman :
إِنَّ الْأَبْرَارَ لَفِي نَعِيمٍ
Sesungguhnya orang-orang yang berbakti benar-benar berada dalam (syurga yang penuh) kenikmatan.” [Al-Infithâr/82:13]
Allâh Azza wa Jalla berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ
Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allâh, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar”. [At-Taubah/9:119]
Allâh Azza wa Jalla meminta para hamba-Nya yang beriman agar jujur dan berpegang teguh dengan kebenaran. Tujuannya agar mereka istiqâmah di jalan kebenaran (orang-orang yang jujur).
Jujur merupakan sifat terpuji yang dituntut keberadaannya dari kaum Mukmin, baik lelaki mahupun perempuan. Allâh Azza wa Jalla berfirman :
وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ
“…Lelaki dan perempuan yang benar (jujur)…” [Al-Ahzâb/33:35]
فَلَوْ صَدَقُوا اللَّهَ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ
“…Tetapi jikalau mereka benar (imannya) tehadap Allâh, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka. [Muhammad/47: 21]
Allâh Azza wa Jalla memberitahukan nilai kejujuran, bahawa kejujuran itu merupakan kebaikan sekaligus penyelamat. Sifat itulah yang menentukan nilai amal perbuatan, kerana kejujuran merupakan ruhnya. Seandainya orang-orang itu benar-benar ikhlas dalam beriman dan melakukan ketaatan, nescaya kejujuran adalah yang terbaik bagi mereka.
Ketahuilah, bahawa kalimah “اَلصِّدْقُ (jujur) dapat digunakan untuk beberapa makna :
Pertama :Jujur dalam perkataan. Setiap hamba wajib menjaga kata-katanya, tidak berbicara kecuali dengan jujur. Jujur ini adalah bentuk kejujuran yang paling jelas dan paling dikenali. Seorang hamba hendaknya menjauhi kata-kata bermakna dua ( double meaning ), kerana ia sebahagian daripada dusta kecuali dalam keadaan darurat dan dituntut demi kemaslahatan.
Kedua : Jujur dalam niat dan keinginan. Ini kembali kepada ikhlas. Apabila amalnya ada kepentingan duniawi, maka kejujuran niatnya batal, boleh jadi dia berdusta sebagaimana dalam hadis tentang tiga jenis manusia, iaitu orang berilmu, qâri’, dan mujâhid, manakala qâri’ berkata, “Aku membaca al-Qur’ân kerana-Mu.” Allâh Azza wa Jalla menolaknya dan mengatakan bahawa dia berdusta dalam niat dan keinginannya bukan dalam bacaannya, demikian juga kedua temannya iaitu orang yang berilmu dan mujâhid.
Ketiga : Jujur dalam bernekad dan jujur memenuhinya.
Untuk yang pertama, misalnya seseorang mengatakan, “Bila Allâh memberiku harta, maka aku akan sedekahkan seluruhnya.” Ini adalah nekad yang boleh jadi jujur dan boleh jadi tidak.
Untuk yang kedua seperti jujur dalam nekad. Jiwa mudah berjanji, kerana ia memang tidak sulit bila hakikat-hakikat terwujud, nekad terbuka dan hawa nafsu menguasai, kerana itu Allâh Azza wa Jalla berfirman :
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ
Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allâh … [Al-Ahzâb/33:23]
Keempat: Jujur dalam amal perbuatan, iaitu antara batin dan zahirnya sama, sehingga amal-amal zahirnya misalnya khusyu’ tidak menunjukkan sesuatu padahal batinnya berbeza.
Kelima: Jujur dalam kedudukan-kedudukan agama. Ini adalah darjat tertinggi, seperti jujur dalam takut dan berharap, zuhûd dan redha, cinta dan tawakkal (kepada Allâh Azza wa Jalla ). Kerana perkara-perkara ini memiliki dasar, memiliki tujuan-tujuan juga hakikat. Orang yang jujur yang sebenarnya adalah orang yang meraih hakikatnya.
Sumber : Mukhtasor Minhaaju Qasidin

Comments